Tiga pelajar kembar berjaya ke IPTA
KOTA BHARU, Jumaat - Tiga pelajar kembar dari Kampung Lubok Bonggor, Jeli, Kelantan, membuktikan mereka bukan saja memiliki wajah serupa malah sama-sama berjaya mencapai impian melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Ketiga-tiga kembar berusia 18 tahun itu, Azliza, Azlili dan Azlini, adalah anak kepada pasangan Osman Ahmad, 52 dan Kamariah Salleh, 43 tahun. Osman bekerja sebagai pemandu teksi.
Mereka mendapat berita gembira itu apabila membuat semakan keputusan permohonan ke institusi pengajian tinggi tempatan (IPTA) melalui KPM-Net di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, hari ini
Azliza akan mengikuti kursus Diploma Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala dua adik kembarnya iaitu Azlili dan Azlini akan mengikuti matrikulasi Perakaunan, Kementerian Pendidikan.
Mereka yang ditemui ternyata gembira dengan keputusan itu dan menyifatkan keistimewaan sebagai anak kembar adalah satu keserasian untuk berjaya bersama, selain berkat doa ibu bapa.
Sebagai anak kembar, ketiga-tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Wataniah, Machang itu, mempunyai persamaan dan impian untuk membuktikan mereka mampu menjadi anak berguna kepada keluarga.
"Kami bertiga tidak jauh beza dari segi rupa, malah menanam impian untuk sama-sama menjejaki kaki ke institusi pengajian tinggi.
"Kami tidak sangka impian itu menjadi kenyataan apabila menerima keputusan permohonan melalui KPM-Net hari ini," katanya Azliza.
KPM-Net adalah pusat semakan yang disediakan kepada pemohon ke IPTA sesi pengajian 1999/2000 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang dibuka dari 3 hingga 12 Jun ini.
Menurut Azliza, dia memohon mengikuti matrikulasi perakaunan yang sama dengan dua lagi adik kembarnya, tetapi mendapat pilihan keempatnya iaitu Diploma Sains Komputer dari UTM.
Bagaimanapun, Azliza yang memperolehi keputusan 8 agregat dalam SPM, lebih cemerlang daripada dua adik kembarnya iaitu Azlili mendapat 13 agregat dan Azlini memperolehi 16 agregat dalam peperiksaan itu.
"Walaupun saya mendapat pilihan berbeza berbanding dua adik kembar saya yang mendapat matrikulasi perakaunan, saya tetap gembira dan bersyukur kerana kami berjaya mencapai impian selama ini," katanya.
Azlili dan Azlini pula ketika ditanya melahirkan rasa gembira kerana tidak menyangka permohonannya untuk mengikuti matrikulasi perakaunan tercapai namun mereka terkilan kerana kakak kembar mendapat jurusan berlainan.
Katanya, selama ini mereka bertiga tidak pernah berpisah malah menuntut di Sekolah Kebangsaan Lubok Bonggor, Jeli dan SMK (Agama) Wataniah, Machang bersama-sama hingga tamat SPM.
Sementara itu, ibu bapa mereka, Osman dan Kamariah bangga mempunyai tiga kembar yang bukan saja istimewa kerana dilahirkan serupa, malah turut sama cemerlang dalam pendidikan hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Osman berkata, kejayaan tiga anak kembarnya itu adalah rezeki bagi keluarga kerana sebelum dua anak sulung, Azlida, 21 belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) dan anak kedua, Azlina, 20 belajar di Kolej Yayasan Pelajaran Mara (KYPM) Kuala Lumpur.
"Saya doakan kejayaan kelima-lima anak saya itu supaya mereka dapat menjadi graduan yang berjaya suatu hari nanti malah kejayaan itu akan diikutu oleh anak bongsu saya, Mohd Kahirul Akif yang kini belajar tahun dua di SK Lubok Bonggor, Jeli," katanya.