Sikap menyimpan wang di bank atau lebih mudah disebut sebagai menabung merupakan satu amalan murni. Amalan ini mempunyai banyak manfaat jika diamalkan oleh seseorang terutama pelajar.
Wang yang disimpan itu dapat digunakan ketika kesempitan wang. Seseorang itu tidak perlu meminjam wang daripada orang lain. Keadaan ini memastikan diri seseorang itu tidak berhutang dengan sesiapa.
Selain itu, sikap menyimpan wang ini mampu memupuk sikap berjimat cermat. Sikap ini dapat diteruskan sehingga seseorang pelajar itu dewasa. Langkah ini memastikan seseorang itu tidak membazirkan wangnya.
Wang yang disimpan di bank dapat digunakan untuk keperluan sewaktu seseorang itu hendak melanjutkan pelajaran ke universiti. Sikap positif yang diamalkan sejak lama memastikan simpanan sesoerang itu bertambah setiap tahun. Dalam keadaan ini ibu bapa tidak akan dibebankan untuk memberi wang kepada pendidikan anaknya.
Pelajar yang suka menyimpan wang di bank dapat membeli barangan yang diingininya seperti buku dan komputer dengan mudah. Tindakan ini memberi kemudahan kepada pelajar untuk mempelajari sesuatu terutama menerusi komputernya. Pelajar dapat memuaskan keperluannya.
Kesimpulannya, sikap menyimpan wang di bank memang patut diamalkan terutama ketika belajar. Sikap yang positif ini memastikan pelajar tidak menghadapi sebarang masalah untuk meneruskan pendidikannya.