Adat Perkahwinan
Merisik
Pada masa dahulu, merisik tidak dilakukan oleh keluarga lelaki tersebut apatah lagi yang empunya diri. Ia akan dilakukan oleh orang lain yang mungkin jiran kepada keluarga gadis itu.
Biasanya, gadis yang menjadi pilihan adalah mereka yang pandai memasak, tahu menjahit dan sulam-menyulam, bagaimanapun rupa paras bukanlah sesuatu yang dititikberatkan.
Meminang
Rombongan peminangan selalunya akan diwakili oleh saudara pihak lelaki yang terdekat. Rombongan ini akan dilengkapkan dengan sirih junjung. Waktu dahulu pembuka bicaranya merupakan pantun.
Walaupun pada hakikatnya kedua-dua pihak telah setuju, namun mengikut adat dahulu, kata putus akan diberikan beberapa hari selepas rombongan tadi datang.
Apabila kata sepakat telah dicapai barulah pinangan tadi diterima secara sah. Perbincangan akan berkisar kepada perkara-perkara seperti duit hantaran dan jumlah barang iringan yang akan dibawa oleh pihak lelaki. Mas kahwin biasanya akan ditentukan berdasarkan negeri asal atau tempat tinggal pihak perempuan.
Pada waktu ini akan ditentukan juga, sekiranya sudah bertunang pihak perempuan ingin memutuskan tali pertunangan tersebut dia akan membayar segala ganti rugi sekali ganda sebagaimana yang diterimanya. Contohnya jika hantaran pihak lelaki ialah RM4000 maka ia akan berganda sebanyak RM8000.
Tetapi jika pihak lelaki yang mungkir janji, segala wang hantaran tersebut akan dikira sebagai tebus ganti dan tidak dikembalikan kepada pihak lelaki.
Hantaran
Hantaran yang digubah, akan menjadi pengiring kepada majlis pertunangan dan majlis perkahwinan. Tepak sirih akan dijadikan sebagai pembuka bicara dalam majlis ini.
Untuk majlis pertunangan, jarang ada yang meminta hantaran serba satu atau seumpamanya, cukup sekadar apa yang ingin dihadiahkan oleh pihak lelaki. Serba satu akan timbul untuk hantaran ketika nikah dan ia juga turut diiringi dengan juadah, manisan atau sebagainya sebagai iringan.
Hantaran daripada pihak lelaki biasanya dalam bilangan yang ganjil dan akan dibalas oleh pihak perempuan lebih sedikit dan dalam bilangan yang ganjil juga. Contohnya, jika pihak lelaki menghantar 9 barang pihak perempuan akan membalas 11 barang.