Adat Bersalin

Adat Bersalin


Dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional, banyak peraturan yang telah ditetapkan mengikut adat istiadat mereka. Peraturan adat tersebut perlu dipatuhi dan diikuti dalam proses kehidupan mereka. Proses kehidupan pertama manusia ialah kelahiran yakni detik sejarah seseorang bergelar manusia. Detik menunggu kelahiran seorang bayi sangat mencemaskan seisi keluarga lebih-lebih lagi wanita yang akan melahirkan anak itu. Justeru, dalam masyarakat Melayu, wanita yang akan menerima cahaya mata akan melalui pelbagai proses adat yang sudah menjadi amalan sejak zaman-berzaman lagi.

Amalan adat ini adalah satu proses jasmani dan rohani yang perlu dilalui oleh wanita-wanita yang akan menempuh hari kelahiran anak mereka. Proses jasmani dan rohani yang perlu dilakukan oleh seseorang wanita sebelum atau sesudah bersalin dalam masyarakat Melayu ialah amalan adat seperti adat melenggang perut, adat bersalin, adat menanam uri, adat bercukur rambut bayi, Adat berendoi, dan adat dalam pantang. Kesemua adat-adat tersebut adalah tahap-tahap peraturan yang perlu dilalui oleh wanita Melayu yang akan bergelar seorang ibu.

Di zaman silam, jika seseorang wanita Melayu yang akan melahirkan anak tidak melalui proses adat, dianggap melanggar adat istiadat nenek moyang mereka. Ini bererti, seseorang wanita yang membelakangi adat dianggap sebagai mencelakan masyarakat dan keluarga.