Adat Kematian
Mengikut ajaran Islam mayat adalah lebih dimuliakan daripada jasad yang hidup. Sebab itulah orang Islam melayani mayat dengan penuh hormat. Adalah menjadi kewajipan kepada mereka untuk menguruskan pengkebumian mayat dengan segera hingga selesai.
Biasanya apabila seseorang Islam meninggal dunia mayatnya diletakkan dalam rumah atau di suatu tempat yang mudah diziarahi. Mereka yang datang berziarah selalunya berdoa atau membaca ayat-ayat suci daripada Al-Quran. Semasa mayat masih ada di dalam rumah biasanya tidak dihidangkan sebarang jamuan atau pun minuman kepada pelawat.
Menurut ajaran Islam mayat hendaklah dikebumikan dengan seberapa segera yang boleh. Sebelum mayat itu dikebumikan ianya dimandi, dikapan dan disemnahyangkan terlebih dahulu. Selepas itu barulah dimasukkan di dalam keranda lalu diusung ke tanah perkuburan. Sahabat-handai digalakkan pergi sama ke kubur kecuali wanita yang sedang uzur bulanan. Di Malaysia setiap kubur orang Islam ditandakan dengan batu nisan.