Karangan Pengangkutan Awam

Sistem rangkaian pengangkutan awam di negara ini cuba disatukan tetapi usaha itu masih di peringkat awal untuk menilai kejayaannya.


Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.


Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.


Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.


Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.


Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.


Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.

Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak dan sudah lama serta masih gagal diselesaikan. Situasi ini berlaku kerana kurangnya kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menanganinya. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan pula terus berdiam diri dan hanya bertindak apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini.