Exam

Dalam hidup ini kita sering diberi peluang untuk membuktikan sesuatu. Kali ini anda semua diberi peluang untuk membuktikan siapa diri anda. Adakah anda mempunyai nilai? Adakah anda mempunyai prospek hidup? Adakah anda akan berjaya mengharungi kehidupan ini?


Sebenarnya, semua pelajar sudah bersedia. Cuma keadaan yang mendesak telah menyebabkan mereka semua tertanya-tanya mengenai keupayaan diri mereka. Keadaan ini menyebabkan ramai yang keliru dan cemas. Pelbagai soalan yang ditanya pada saat-saat akhir ini membuktikan pelajar memang cemas. Mereka seharusnya tenang.


Tenang? Pelajar harus melihat semua soalan-soalan ramalan yang sudah diberikan oleh guru mereka pada saat-saat akhir ini. Tiada lagi masa untuk membaca nota-nota yang panjang itu. Tiada lagi masa untuk melihat kandungan buku teks yang tebal itu. Tidak ada masa lagi untuk berbincang.


Semua nota dan seminar yang diberikan oleh guru-guru anda sudah cukup. Mereka sudah pasti membuat analisis yang lengkap sebelum memberi seminar kepada pelajar-pelajarnya. Untuk saya pula, pelajar seharusnya membaca nota seminar dan memasuki blog untuk pemerhatian terakhir.


Ketika menjawab soalan esok, pastikan anda membaca dan memahami soalan dengan baik. Setiap jawapan anda harus berkaitan dengan soalan yang ditanya. Anda harus berfikir dengan tenang dengan memberikan fokus 100% terhadap soalan BM esok. Jawab dengan tenang dan bijak. Rancang masa anda untuk setiap soalan.


Saya akan sering mendoakan kejayaan anda walaupun saya tiada di samping anda dan saya akan sentiasa berada di samping anda. Percayalah kerana anda pelajar saya buat selama-lamanya.