PENTAKSIRAN berasaskan sekolah akan diperkenalkan mulai tahun ini, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Dengan pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran yang bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, aktiviti jasmani, ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan.
``Melalui pentaksiran itu bukan sahaja penguasaan murid dapat dilaporkan, malahan proses pembinaan modal insan dapat diteruskan,'' katanya dalam ucapan Perutusan Tahun Baru 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.
Serentak dengan perkembangan itu, kata beliau, maka mekanisme peperiksaan pusat akan dikurangkan melalui pelbagai cara seperti mengurangkan bilangan mata pelajaran yang boleh diambil oleh murid, mengadakan jadual yang lebih fleksibel serta mengasingkan peperiksaan
aliran vokasional daripada aliran akademik.
Petikan
``Dengan pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran yang bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, aktiviti jasmani, kokurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan.''
Kata beliau, untuk mengurangkan `tekanan' peperiksaan pusat, pihaknya bersetuju, untuk memperkenalkan Jadual Waktu Berperingkat (JWB) bagi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun ini - yang telah diumumkan pada tahun lepas.
``Jadual itu juga bertujuan untuk mengurangkan masalah ponteng sekolah selepas peperiksaan pusat sebelum cuti akhir tahun persekolahan,'' katanya
Menteri Pelajaran menambah, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang ingin kita laksanakan nanti diharap dapat mengurangkan risiko keciciran.
Lebih penting lagi, tegas beliau, SPPK akan melahirkan pelajar yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.
``Guru pula akan bertindak sebagai pemudah cara yang berkesan, mengurangkan peperiksaan berpusat dan sekaligus mengurangkan tekanan peperiksaan yang dihadapi oleh pelajar, guru dan ibu bapa,'' ujarnya.
RASIONAL SPPK
Beliau percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai bakat dan potensi yang berbeza.
Tempoh yang diambil untuk bakat dan potensi mereka berkembang juga tidak sama, kata Hishammuddin.
``Tugas utama kita adalah membuka seluas-luas ruang dan peluang bagi anak-anak kita ini memperkembang potensi diri mereka serta melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin kemahiran yang relevan dengan keperluan pada hari ini,'' katanya.
Beliau melihat bahawa trend dunia ketika ini adalah untuk melihat ke arah penyediaan satu sistem pendidikan yang lebih bersifat perseorangan (personalised) berbanding amalan sedia ada.
``Hal ini merupakan rasional kenapa kita ingin meneliti semula kurikulum kebangsaan, lebih-lebih lagi dari segi pendekatan pelaksanaan dan penyampaiannya.
``Ini juga menjadi sebab untuk kita melaksanakan reformasi di dalam bidang pentaksiran,'' ujar Hishammuddin.