Kesatuan guru sambut baik langkah baru kelayakan pengetua
KUCHING, Khamis - Langkah mensyaratkan pengetua dan guru besar mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana dan Diploma Lanjutan merupakan bukti komitmen tinggi Kementerian Pendidikan hendak memartabatkan profesion perguruan.
Demikian pandangan dua kesatuan guru terkemuka di Sarawak iaitu Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS).
Presiden STU William Ghani Bina berkata, ia merupakan satu langkah yang amat baik dan memang seharusnya dilaksanakan jika Malaysia mahu merealisasikan pendidikan bertaraf dunia.
Beliau menegaskan, untuk mencapai ke tahap itu pengetua dan guru besar sebagai pengurus dan pentadbir sekolah mestilah terlebih dahulu mempunyai kelayakan serta kebolehan profesional setinggi mungkin.
"Langkah ini memang sesuai dengan aspirasi kita untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini," katanya kepada Utusan Sarawak ketika dihubungi di pejabatnya di sini hari ini.
Sementara itu, William menyeru guru yang berumur antara 30 hingga 40 tahun di negeri ini supaya memohon mengikuti kursus kepengetuaan.
Menurutnya, ia penting bagi menjamin bekalan pengetua dan guru besar yang mencukupi bagi Sa-rawak yang mempunyai 1,200 sekolah menengah dan 1,400 sekolah rendah.
William juga berharap Kementerian Pendidikan dapat menyediakan bekalan guru terlatih yang mencukupi untuk semua mata pelajaran bagi mengelakkan penggunaan guru tidak terlatih (guru sementara).
Yang DiPertua KGBS, Encik Sajali Haji Ojek juga menyambut baik langkah kementerian menetapkan syarat berkenaan.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memartabatkan profesion perguruan malah tidak kurang pentingnya juga ia dapat mewujudkan pendidikan yang bermutu.
Katanya, perkembangan teknologi terkini seperti teknologi maklumat (IT) sudah tentulah memerlukan guru dan pentadbir sekolah yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
"Pengetua dan guru besar yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi akan meningkatkan kecekapannya dalam mentadbir sekolah.
"Seterusnya, ia menyumbang kepada pe-ningkatan taraf pendidikan di negara ini," katanya kepada Utusan Sarawak ketika dihubungi di pejabatnya di sini hari ini.
Sajali menyeru guru-guru di negeri ini, khasnya ahli KGBS supaya melengkapkan diri menghadapi cabaran pendidikan alaf baru dengan meningkatkan tahap akademik masing-masing.
Menurutnya, KGBS sebenarnya sentiasa membangkitkan kesedaran ahli-ahlinya tentang perkara itu seperti melalui Seminar Guru Alaf di Telaga Air yang memberi penekanan supaya semua guru mempunyai ijazah.