FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

PENDAHULUAN

Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Negara.

Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu.

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini pula, mengandungi perincian, penjelasan serta huraian tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di dalam Huraian Sukatan Pelajaran ini, dimuatkan senarai kecekapan berbahasa dalam kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis, tatabahasa, penjodoh bilangan, peribahasa, dan perbendaharaan kata yang sesuai bagi peringkat persekolahan murid.

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) dan Tamil (T) disempurnakan dengan mengambil kira tahap kebolehan dan kemampuan murid di SJK(C) dan (T). Oleh itu, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk SJK(C) dan (T) agak berbeza daripada Sekolah Kebangsaan dari segi huraian, senarai kemahiran berbahasa, contoh-contoh peribahasa, tatabahasa, dan jumlah perbendaharaan kata yang dicadangkan.

Huraian Sukatan Pelajaran ini merupakan satu cadangan, dan guru-guru tidak seharusnya terikat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan. Sekiranya didapati ada di antara cadangan-cadangan ini tidak sesuai dengan keadaan bilik darjah, guru-guru boleh mengubah dan menyesuaikannya dengan kebolehan dan kemampuan murid. Huraian Sukatan Pelajaran ini juga boleh digunakan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran mengikut penggal, mingguan, dan harian di dalam bilik darjah.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

MATLAMAT

Matlamat mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Negara.

OBJEKTIF

Setelah mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah murid dapat:
mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari;

bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila;

membaca untuk memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;

menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan pengetahuan dan
hiburan;

menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format yang betul;

memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul;

menghargai dan menghayati nilai-nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi;

menggunakan bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu;

menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan;

memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai; dan

menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli masyarakat yang berbilang keturunan.

STRSTEGI PENGAJARAN DAN PENGAJARAN

Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.


PENGGABUNGJALINAN

Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

PENYERAPAN

Dalam pengajaran bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, sejarah, dan lain-lain.

PENGAYAAN

Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid ini hendaklah diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

PEMULIHAN

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

PENILAIAN

Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi.